suria

Malaysia Sasar Pengecualian Visa Ke AS Melalui SKIN

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara Asean ketiga diterima dalam Program Pengecualian Visa (VWP) Amerika Syarikat melalui pelaksanaan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) dalam sistem imigresen negara pada 2021.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan optimis dalam mencapai misi itu ekoran kejayaan Brunei dan Singapura yang telah diterima dalam program VWP Amerika setelah melaksanakan sistem sama.

"Dalam soal ini terdapat 38 buah negara yang telah laksanakan sistem ini setakat ini, semuanya telah dapat mengurangkan risiko kemasukan unsur-unsur negatif daripada negara luar dan negara-negara ini juga memperoleh pengecualian visa oleh Amerika.

"Sekarang hanya dua negara ASEAN yang memperolehnya (pengecualian visa) iaitu Brunei dan Singapura, Kita harap akan menjadi negara Asean ketiga memperolehnya apabila kita laksanakan sistem ini kelak," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Salim Mohd Sharif yang meminta penjelasan daripada Ahmad Zahid mengenai jumlah negara yang telah melaksanakan sistem ini dan telah mendapat pengecualian visa daripada Amerika.

Ahmad Zahid berkata kerajaan optimis pelaksanaan SKIN akan dapat membantu Malaysia diterima dalam program berkenaan kerana setakat ini Malaysia telah memenuhi enam daripada tujuh syarat yang dikenakan untuk mendapat pengecualian visa tersebut.

Berdasarkan laporan akhbar awal tahun ini, Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata buat masa ini satu syarat sahaja belum dapat dipenuhi iaitu penolakan visa kurang daripada tiga peratus berikutan penolakan visa rakyat Malaysia sekarang adalah 3.7 peratus, iaitu hanya 0.7 peratus sahaja lagi untuk memenuhinya.

Menjawab soalan asal Datuk Bashir Alias mengenai kelebihan sistem berkenaan, Ahmad Zahid berkata menerusi pelaksanaan SKIN, ia akan membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensinya untuk menangani jenayah rentas sempadan dan aktiviti pemerdagangan manusia dengan sistematik serta bersepadu.

Katanya lagi sistem ini kelak akan diintegrasikan dengan semua sistem imigresen sedia ada termasuk Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan dijangka menjana pendapatan tambahan kepada kerajaan kira-kira RM800 juta setelah 12 tahun beroperasi.

Ahmad Zahid berkata sementara pelaksanaan SKIN yang mengambil masa selama empat tahun, kementerian sentiasa menambah baik sistem imigresen sedia ada yang telah dilaksanakan selama 20 tahun bagi memastikan sempadan pintu masuk negara selamat serta tiada unsur-unsur negatif menyerap masuk ke negara ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai keperluan membina Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin di kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus seperti di Mundok, Kelantan, Ahmad Zahid berkata KDN sentiasa memandang serius akan keperluan berkenaan.

"Saya ingin maklumkan keperluan CIQ untuk 'menghalalkan' jalan yang haram (lorong tikus) dan kita akan lihat di mana lorong tikus yang sudah jadi lorong gajah ini berpotensi dibangunkan CIQ.

"Kita akan minta pasukan kaji dan memastikan kawasan-kawasan ini jadi laluan boleh keluar masuk bebas secara berdokumen dan melalui kawalan serta sistem percukaian agar elemen kemasukan senjata, atau barang bersubsidi akan dapat dipantau," katanya.

Ahmad Zahid berkata usaha tersebut bagaimanapun memerlukan kerjasama rapat daripada pemimpin kerajaan negeri dengan mengetepikan perbezaan politik demi keselamatan sempadan negara.

"Yakinlah atas nama keselamatan negara, kita bekerjasama, ketepikan perbezaan politik agar konsep 'taawun' (bantu-membantu) itu dapat kita terjemahkan dengan sebaiknya," katanya.-- Bernama


SKIN, visa

Artikel Sebelum

Roti Canai Merdeka?

Artikel Berikut

Artikel Lain