suria

Lima Penuntut UPNM Kemuka Surat Representasi Kaji Semula Pertuduhan

Sebahagian daripada 19 penuntut UPNM dihadapkan di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan Osman, Mei lepas. foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lima daripada 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain telah mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail memaklumkan Majistret Siti Radziah Kamarudin bahawa jabatan berkenaan telah menolak surat representasi itu pada Isnin.

Lima penuntut berkenaan ialah Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Amirul Asraff Mala, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Sufi Mohd Mustapha dan Muhamad Ashraf Abdullah, yang kesemuanya berumur 21 tahun.

Peguam Datuk Hazizah Kassim, yang mewakili kelima-lima penuntut UPNM itu berkata anak guamnya telah menghantar surat representasi pada 9 Julai lepas sebelum beliau dilantik sebagai peguam bagi mewakili mereka.

Mahkamah menetapkan 15 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan berkaitan kes itu termasuk bedah siasat dan laporan kimia.

Pada 14 Jun lepas, kelima-lima lelaki itu bersama 14 lagi tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Empat belas tertuduh ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Luqman Hakim Shamsuri, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Tertuduh lain ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lepas dan di bilik 04-10, asrama sama, antara pukul 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lepas.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh masing-masing diwakili peguam Datuk Seri M. Ramachelvam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Ariff Amirul Abdul Jani, A. G Kalidas, Mohd Fadly Hashim, Zamri Idrus dan Joshua Tay.

Mahkamah turut menetapkan tarikh yang sama (15 Sept) untuk sebutan semula kes  lima pelajar yang dituduh membunuh Zulfarhan Osman manakala seorang lagi tertuduh iaitu Abdoul Hakeem berdepan dengan pertuduhan bersubahat membunuh.

Lima tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin,  Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobirin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, asrama sama antara pukul 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka tidak dibenarkan diikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan lima daripada mereka ditahan di Penjara Sungai Buloh dan seorang lagi di Penjara Kajang.

Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan.

Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. - BERNAMA

UPNM, Zulfarhan Osman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain