suria

Buaya Gergasi Ditangkap Di Sarawak

MIRI: Seekor buaya seberat 300 kilogram (kg) dengan panjang berukuran 18 kaki ditangkap hidup-hidup oleh penduduk Kampung Labau Sibuti di utara Sarawak.

Haiwan reptilia itu ditemui di tebing sungai perkampungan tersebut yang terletak kira-kira 60 kilometer dari bandaraya Miri.

Dengan bantuan kakitangan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), mereka berjaya menangkap buaya itu sebelum dihantar ke sebuah taman buaya pada petang Sabtu.

Kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Miri dimaklumkan SFC mengenai perkara itu dan mereka menghantar sebuah lori tiga tan untuk membawa buaya terbabit.

"Kakitangan SFC meminta Jabatan Pertahanan Awam Miri untuk membantu mengangkut buaya itu ke Taman Buaya Kuala Baram.

"Sebaik tiba di lokasi, buaya itu sudah ditangkap dan diikat penduduk kampung dengan bantuan kakitangan SFC," kata ketua jabatan itu, Mohd Hazle Abdul Hamid.

Ia antara buaya gergasi pernah ditangkap penduduk kampung di daerah Miri.

buaya gergasi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain