suria

'Datuk Dr Ridzuan' Akhirnya Ditahan

- Gambar hiasan

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan kejadian seorang individu berumur 22 tahun menyamar sebagai seorang doktor di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Bagaimanapun Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata lelaki itu berjaya ditahan pihak keselamatan Isnin lalu dan kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pada 7 Ogos 2017, kelibat lelaki tersebut dikesan di ruang menunggu orang awam di Klinik Pakar Hospital Sultanah Bahiyah dan pemuda tersebut telah dibawa kepada pihak pengurusan hospital untuk tindakan lanjut.

"Bersama dia didapati kot berwarna putih, stetoskop dan dua tag nama iaitu Dr Ridzuan dan Datuk Dr Ridzuan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dr Norhizan berkata hasil siasatan dalaman mendapati lelaki berkenaan hanya berlegar-legar di kawasan dan ruangan yang turut boleh diakses orang awam dan warga kerja di wad turut mengesahkan dia tidak terlibat dalam pemeriksaan mahupun memberikan rawatan kepada pesakit ataupun klinik.

“Sistem keselamatan di hospital melibatkan pengawasan oleh pengawal keselamatan dan kemasukan ke wad memerlukan akses kad bagi membolehkan kemasukan ke wad.

"Pihak pengurusan Hospital Sultanah Bahiyah telah dan sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan sistem akes kad di wad-wad,” katanya.

Dr Norhizan berkata sistem keselamatan sedia ada sememangnya dipertingkatkan dengan memastikan terdapat kawalan rapi oleh pengawal keselamatan setiap masa di wad kanak-kanak dan bersalin.

Sementara itu beliau berkata jabatannya telah memberikan peringatan kepada semua hospital terutama hospital yang mempunyai ramai warga kerja dan menyediakan latihan pegawai perubatan siswazah iaitu Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani dan Hospital Kulim.

Katanya semua warga kerja hospital turut dimaklumkan supaya melaporkan segera kepada pihak pengurusan hospital sekiranya terserempak dengan orang mencurigakan di perkarangan hospital. -Bernama

Artikel Sebelum

Dua Maut Dihempap Kren

Artikel Berikut

Artikel Lain