suria

Suami Maut, Isteri Parah Disamun

Isteri mangsa parah dalam kejadian samun itu.

MELAKA: Seorang lelaki maut ditetak manakala isterinya parah dalam kejadian samun bersenjata di rumahnya di Taman Bukit Terendak Sungai Udang di sini, malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata kedua-dua mangsa yang berusia 60 dan 59 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di rumah mereka kira-kira 8.45 malam.

"Sebaik tiba di rumah mangsa, kita menemui mangsa wanita berada dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah dan pemeriksaan lanjut kita turut menemukan mangsa lelaki berada dalam keadaan tertiarap berlumuran darah.

"Siasatan lanjut ke atas mangsa lelaki mendapati beliau telah meninggal dunia dan terdapat kecederaan di bahagian leher dipercayai menggunakan objek tajam namun senjata yang digunakan masih belum ditemui," katanya.

Beliau berkata mangsa wanita berkenaan yang mengalami kecederaan parah di bahagian mulut kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan kini menjalani pembedahan bagi kecederaan yang dialaminya.

Katanya menurut siasatan awal, kejadian itu bermotifkan samun dan bunuh namun pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan lanjut di rumah mangsa serta menunggu pengesahan daripada keluarga mereka.

Afzanizar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan 320 kanun sama kerana melakukan rompakan sehingga menyebabkan kecederaan dan membunuh.

Beliau berkata susulan kejadian itu, kira-kira pukul 10.30 malam Jumaat, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun berhampiran kawasan perumahan mangsa bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

"Kita akan memohon perintah reman ke atas lelaki itu hari ini untuk membantu siasatan kes," katanya. - BERNAMA

samun, tetak

Artikel Sebelum

Patut Lama Dalam Kereta...

Artikel Berikut

Artikel Lain