suria

Perniagaan Merosot, 500 Klinik Ditutup

Kira-kira 500 buah klinik swasta di seluruh negara terpaksa tutup sepanjang dua tahun kebelakangan ini. - Gambar hiasan/Dhiraj Singh/Bloomberg

SHAH ALAM: Akibat persaingan dan peningkatan kos, kira-kira 500 buah klinik swasta di seluruh negara ditutup sepanjang dua tahun kebelakangan ini, lapor Sinar Harian.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Ravindran Naidu berkata, situasi ini menunjukkan profesion doktor sebenarnya tidak mampu mendatangkan pendapatan tinggi seperti yang disangka ramai orang.

"Ramai doktor selepas menutup perniagaan klinik mereka, ada yang terpaksa menjadi doktor sambilan di klinik lain dan tidak kurang juga yang menukar profesion lain," kata Dr. Ravindran kepada Sin Chew Daily.

Mengulas lanjut, katanya, daripada 7,000 doktor yang membuka klinik sendiri, kira-kira 60 peratusnya tidak memperoleh pulangan yang menguntungkan, manakala 20 peratus mengalami perniagaan yang teruk apabila jumlah pesakitnya kurang daripada 15 orang sehari.

"Hanya 15 peratus klinik sahaja yang didapati dapat menjalankan perniagaan mereka dengan baik dan menguntungkan," katanya.

Menurut Dr Ravindran, selain menghadapi persaingan hebat, kemelesetan ekonomi dan kejatuhan nilai mata wang, satu lagi punca yang mendorong doktor terpaksa menamatkan perniagaan mereka adalah daripada segi kos perubatan yang meningkat sebanyak 20 peratus dalam tempoh setahun.

"Jumlah untuk bayaran perubatan bukanlah terletak pada doktor tetapi perlu bergantung pada pasaran. Harga barangan seperti ubat-ubatan dan alat perubatan telah naik, oleh itu, doktor di klinik terpaksa mengenakan harga lebih tinggi," kata Dr Ravindran yang baru dilantik presiden MMA sebulan yang lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain