suria

Beras Jenama Rambutan Tulen

Beras jenama Rambutan yang didakwa mengandungi plastik sebelum ini.

PUTRAJAYA: Analisa Jabatan Kimia terhadap sampel beras jenama Rambutan yang diambil di sebuah kilang pemprosesan dan pembungkusan beras di Alor Setar mendapati ia tulen dan tiada kandungan plastik, kata Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Shamsuddin Ismail.

Menurutnya, sampel beras sumber utama dan sampel beras telah proses diambil dari Kilang OEL Sdn Bhd, kilang pemprosesan dan pembungkusan beras jenama Rambutan Super Special Tempatan 15% (SST5%), pada 18 Jun untuk dihantar kepada Jabatan Kimia.

"Keputusan Jabatan Kimia yang diterima Kementerian (Pertanian dan Industri Asas Tani) pada 20 Jun menunjukkan sampel-sampel tersebut adalah merupakan beras tulen dan tiada kandungan plastik atau apa-apa unsur lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Shamsuddin berkata sampel-sampel beras turut diambil dari beberapa lokasi lain termasuk kilang di Perak dan Pahang serta pasar raya di Selangor turut dihantar ke Jabatan Kimia.

"Kementerian pada masa ini masih menunggu keputusan analisis makmal bagi sampel-sampel tersebut," katanya.

Sebelum ini, Kawalselia Padi dan Beras (KPB) telah membuat siasatan dan menghantar sampel beras ke Jabatan Kimia ekoran aduan polis mengenai beras plastik di Kulai, Johor pada 6 Jun dan hasil analisis yang diterima pada 13 Jun juga menunjukkan tiada unsur plastik.

Shamsuddin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada dakwaan yang tular di media sosial mengenai isu beras plastik.

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini boleh menghubungi pejabat Kawalselia Padi Beras di setiap negeri bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan sebaiknya serta dapat mengelakkan kekeliruan kalangan pengguna beras dalam negara," katanya. - BERNAMA

beras Rambutan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain