suria

Jenazah Mejar Mohd Hasri Selamat Dikebumi

Keranda jenazah juruterbang pesawat TUDM Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, dibalut dengan bendera Malaysia dan bendera TUDM sebelum diterbangkan ke Felda Lui Muda, Jempol Negeri Sembilan untuk dikebumikan selepas solat jenazah di Surau Al-Taqwa, Pangkalan TUDM Kuantan, Jumaat.
 -fotoBERNAMA

JEMPOL: Jenazah juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, yang terkorban dalam nahas pesawat jenis Hawk 108 pada Khamis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lui Muda dekat sini kira-kira 10.30 pagi Jumaat.

Terdahulu jenazah disembahyangkan di Masjid Felda Lui Timur dengan diimamkan imam masjid itu Mohd Rawal Md Isa, dan turut disertai kira-kira 200 jemaah terdiri daripada penduduk kampung dan anggota TUDM.

Turut hadir mengiringi jenazah ialah Panglima Bantuan Udara TUDM Leftenan Jeneral Datuk Wan Normazlan Che Jaafar, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pertang Datuk Jalaluddin Alias dan Adun Sungai Lui Wan Mohd Razi Mohd Ali.

Allahyarham Mohd Hasri meninggalkan isteri, Asysyuhadak Ahmad, 30, dan seorang anak perempuan, Nur Hafiya, 8 bulan.

Perkarangan rumah ibu bapa Mohd Hasri dipenuhi penduduk kampung dan kira-kira 300 anggota TUDM daripada pangkalan Subang dan Labuan, bagi memberikan penghormatan akhir kepada Allahyarham.

Mohd Hasri dan rakannya juruterbang Mejar Yazmi Mohamed Yusof, terkorban apabila pesawat Hawk 108 yang dinaiki mereka dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu semalam.

Jasad mereka ditemukan pada pukul 2.30 petang semalam, dalam jarak antara 20 meter antara satu sama lain, dengan payung terjung masing-masing yang menunjukkan mereka telah melepaskan diri daripada pesawat itu.

Pesawat Hawk 108 itu berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada 11 pagi Khamis, sebelum dilaporkan terputus hubungan kira-kira setengah jam kemudian.

Jenazah Yazmi,39, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa, Kuala Lumpur.  -Bernama

TUDM, Mejar Mohd Hasri

Artikel Sebelum

Mitos Budak Dijilat Unta

Artikel Berikut

Salam Ibu Disebalik Tembok

Artikel Lain