suria

Bila Bisnes Tular Orang Busuk Hati Pula...

PETALING JAYA: Perniagaan yang maju dan mendapat sambutan ramai tidak akan terlepas daripada perbuatan dengki dan khianat.

Demikian yang berlaku kepada pemilik Ayam Bakar Pasu Terlangkup (ABPT) Yusdey Ismail, 40, yang pasu-pasunya dipecahkan oleh pihak yang dipercayai tidak senang dengan perniagaan yang dijalankannya.

Dalam kejadian awal pagi Selasa itu, sebanyak 18 daripada 43 pasu yang digunakan Yusdey untuk membakar ayam di Bazar Ramadan Wisma Ria, Sungai Petani, Kedah didapati telah pecah.

"Ada yang kata saya fitnah atau sengaja reka cerita, itu tak betul, pasu-pasu itu memang ada kesan pecah akibat diketuk dengan benda keras, saya agak tukul besi.

"Saya pun tak sangka boleh jadi macam ni apatah lagi sekarang ni bulan Ramadan...kerugian ini saya anggap sebagai dugaan saya di bulan puasa," katanya kepada mStar Online, Rabu.

Sebelum ini, ABPT yang dijual Yusdey tular di media sosial dan sambutan yang diterima semakin hebat apabila masuk bulan Ramadan, apabila orang ramai sanggup beratur panjang semata-mata mahu membeli ayam yang dimakan dengan sos khas ini.

Yusdey yang mengasaskan ABPT pada 2015 dengan membuka gerai pertamanya di  Jalan Yan - Guar Chempedak berkata, akibat perbuatan itu, beliau mengalami kerugian kira-kira RM2,000.

"Rugi banyak juga sebab pasu saya buat sendiri, nasib baik saya ada simpan pasu lebih, bolehlah saya berniaga macam biasa.

"Saya tak tuduh siapa-siapa, tapi mungkin ada orang tak puas hati bila saya tutup gerai saya dengan jaring hitam, tapi setahu saya, saya tak ada pula halang laluan sesiapa," katanya yang berasal dari Port Dickson ini.

Menurut Yusdey, walaupun kesal dengan apa yang berlaku, beliau tetap meneruskan perniagaan seperti biasa selepas membuat laporan polis, pagi Selasa.

Katanya, setakat ini ABPT mempunyai enam cawangan iaitu tiga di Kedah, dua di Melaka dan satu di Port Dickson.

Gerai ABPT sering diserbu pelanggan dan menjadi bualan ramai bukan sahaja kerana cara memasaknya yang unik, tetapi juga disebabkan rasanya yang enak.

Yusdey berkata, pasu terlangkup yang berfungsi seperti ketuhar membolehkan ayam yang dibakar masak dengan sempurna mengikut masa yang ditetapkan.

"Ia tak dimasak menggunakan api secara langsung, sebaliknya menggunakan asap.

"Kaedah ini mengelakkan ayam daripada masalah hangit atau hitam, tetapi isinya tak masak. Isi ABPT rasanya seperti ayam salai," katanya.

Jelasnya, setakat ini beliau mempunyai kira-kira 500 buah pasu yang direka sendiri untuk tujuan perniagaannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Abang Ni Dah Kenapa?

Artikel Lain