suria

Tutup Kes SPRM: Lelaki Ditahan, VIP Jadi Mangsa

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM70,000 daripada seorang kenamaan kononnya untuk menutup kes yang disiasat agensi itu.

Difahamkan, suspek berusia 54 tahun dan bekerja di sebuah syarikat media memberitahu VIP yang disiasat SPRM bahawa dia mempunyai kenalan di suruhanjaya itu dan mampu menyelesaikan kes berkenaan. 

Menurut sumber, suspek ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama wang tunai kira-kira RM20,000 pada pukul 9.30 malam Selasa.

Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Putrajaya untuk direman pada Rabu bagi membantu siasatan SPRM mengikut seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu SPRM tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang boleh menjatuhkan reputasi suruhanjaya itu.

"Ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku dan SPRM sebelum ini telah mengambil tindakan ke atas beberapa individu kerana menggunakan nama SPRM untuk mengutip rasuah.

“Orang ramai khususnya mereka yang disiasat SPRM diminta untuk berhati-hati supaya tidak terperdaya dengan individu-individu berkenaan,” katanya.

Artikel Berikut

Sultan Selangor Murka!

Artikel Lain