suria

Serangan Manchester: Tiga Pelajar Malaysia Disiasat

ANGGOTA polis berkawal di luar sebuah rumah selepas skuad pemusnah bom dipanggil untuk melakukan pemeriksaan di Wigan pada 30 Mei 2017. - REUTERS

PETALING JAYA: Tiga rakyat Malaysia yang disoal siasat oleh polis Britain berhubung insiden serangan Manchester, dipercayai sekumpulan pelajar yang tidak bersalah dan diambil kesempatan oleh suspek pengebom, Salman Abedi.

Dalam satu laporan pada Rabu, akhbar Britain The Times berkata, serbuan ke atas rumah pelajar terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an, menimbulkan kebimbangan bahawa lokasi tersebut pernah digunakan oleh Salman sebagai 'rumah selamat' bagi mengelak dikesan pihak keselamatan.

Akhbar itu menjelaskan, kaitan Salman dengan alamat itu, lokasi pelajar Malaysia terbabit tinggal sejak empat tahun lalu, masih belum jelas.

Berdasarkan maklumat kawan pelajar terbabit, Salman mungkin mengambil kesempatan atas kebaikan ketiga-tiga pelajar dan suspek melakukan perancangan untuk melancarkan serangan.

Seorang kawan pelajar yang enggan dikenali berkata, ketiga-tiga rakannya menentang fahaman pelampau dan keganasan selain memiliki karakter yang baik.

Dia juga mendakwa, Salman yang berasal dari Libya, mungkin mengambil kesempatan atas nama Islam.

Ketiga-tiga pelajar itu ditahan dan dibawa ke balai polis Longsight untuk siasatan lanjut pada pukul 5.40 petang Isnin.

Namun ketiga-tiga mereka dibebaskan tanpa sebarang dakwaan pada pukul 9 malam pada hari yang sama.

Enam suspek telah ditahan sejak serangan pengebom nekad yang mengorbankan 22 nyawa ketika sebuah konsert berlangsung di Manchester Arena pada minggu lalu.

Salman, yang dinamakan sebagai pengebom dalam serangan itu, merupakan pelajar jurusan perniagaan yang tidak meneruskan pengajian di sebuah universiti.

Berdasarkan rekod, nama Salman pernah diserahkan kepada pihak keselamatan oleh komuniti Islam, tempat dia tinggal, kerana ideologinya terhadap gerakan pelampau.

Dalam perkembangan sama, Wisma Putra mengesahkan ketiga-tiga pelajar berkenaan berada dalam keadaan selamat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau telah menghubungi ketiga-tiga pelajar itu.

"Saya pernah bertemu dengan dua daripada tiga pelajar itu ketika sesi perkenalan dengan pelajar Malaysia di Manchester pada awal tahun ini.

"Saya telah bercakap dengan mereka dan gembira saya katakan, mereka berada dalam keadaan selamat," kata beliau.

Manchester

Artikel Sebelum

Artikel Lain