suria

91 Akaun Bank Skim Mface Club Berjumlah RM177 Juta Dibeku

Mohd Roslan (tiga dari kiri) menunjukkan beberapa barangan yang dirampas dalam serbuan itu.

PUTRAJAYA: Sebanyak 91 akaun bank membabitkan skim Mface Club berjumlah RM177 juta dibekukan kerana terlibat dalam aktiviti skim piramid, kata Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Ia susulan operasi yang dijalankan pada Isnin lepas (29 Mei) yang dikenali sebagai "Ops Token" melibatkan serbuan di tiga premis kediaman dan dua premis di sekitar Lembah Klang serta satu di sebuah pusat beli belah di Pulau Pinang, katanya.

"Daripada 91 akaun bank yang dibekukan, 43 akaun di bawah nama syarikat dan 48 akaun selebihnya milik individu membabitkan lapan buah bank berlainan," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Mohd Roslan berkata serbuan ke atas skim Mface Club yang dipercayai beroperasi sejak lima ke enam tahun itu, dilaksana di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP 1993) dan akta yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Operasi itu diselaraskan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) dari Jabatan Peguam Negara dan diketuai Bahagian Penguatkuasa, KPDNKK, yang turut disertai BNM, SSM, Polis DiRaja Malaysia dan Cybersecurity Malaysia, katanya.

Beliau berkata ketika serbuan pelbagai dokumen, maklumat transaksi kewangan, peralatan komputer dan beberapa barangan mewah dan berjenama turut dirampas termasuk dua jongkong emas, beg tangan berjenama, jam tangan berjenama dan barang kemas.

"Tiada tangkapan dibuat setakat ini," katanya, sambil menambah skim MFace Club dikendalikan oleh Kumpulan MBI International.

Aktiviti skim MFace Club adalah dengan menawarkan enam pakej berharga serendah US$100 sehingga US$5,000, dengan menawarkan pulangan pelaburan yang tinggi dan turut mengkehendaki setiap ahli mencari dua ahli baru menyertainya, kata beliau.

Mohd Roslan berkata siasatan kini dibuat di bawah Seksyen 4 AJLSAP 1993 iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen dan Seksyen 27B, mempromosi atau menyebabkan supaya dipromosikan skim piramid.

BNM turut menjalankan siasatan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan SSM di bawah Akta Syarikat 2016, katanya.

Katanya berdasarkan maklumat dan bukti diperoleh semasa serbuan, skim itu dan syarikat tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 iaitu melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan memperoleh, menerima, memiliki hasil daripada aktiviti haram tersebut.

Jelasnya penguatkuasaan secara bersepadu itu menyasarkan tindakan lebih menyeluruh bukan sahaja terhadap pengendali tetapi juga terhadap penganjur serta pelabur yang tidak bertanggungjawab ekoran daripada penglibatan mereka dalam skim berkenaan. - BERNAMA

Mface Club, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain