suria

Wanita Nafi Dirinya "Florence Goh"

Rafizi akhirnya memohon maaf kepada Goh di atas kesilapan tersebut.

PUTRAJAYA: Seorang ahli perniagaan wanita dari Johor mendakwa disalah tuduh mengetuai syarikat yang diupah untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Florence Goh Siew Boey menafikan dirinya "Florence Goh" yang dikenalpasti Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai ketua Godfrey Group Limited, sebuah syarikat yang didakwa Rafizi sebagai pengantara antara Pejabat Perdana Menteri dan AS.

"Saya Florence Goh Siew Boey, ketua syarikat perniagaan IT saya sendiri, CRT Insights Technology Sdn Bhd. Saya bukan Florence Goh yang mengetuai Godfrey Group Limited.

"Syarikat saya beralamat di No 42 Jalan Molek 2/1 manakala Godfrey Group Limited terletak di No 41 Jalan Molek 2/3. Walaupun alamat itu sama, kedua-dua syarikat itu terletak di lokasi berbeza.

"Saya tiada kena-mengena dengan syarikat lain itu," kata Goh pada sidang media di sini Rabu ditemani Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Goh berkata dakwaan Rafizi telah menjejaskan imej syarikatnya dan menuntut Ahli Parlimen Pandan itu untuk membersihkan nama beliau.

"Saya mahu Rafizi menjelaskan bahawa saya bukan Florence Goh yang dinamakan di sini. Saya mahu beliau memohon maaf," kata Goh yang tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Rafizi.

Goh turut membuat laporan polis terhadap Rafizi pada 29 Mei lalu.

Beberapa jam selepas sidang media Goh, Rafizi akhirnya mengeluarkan permohonan maaf atas kesilapan mendakwa wanita itu sebagai "Florence Goh" yang ada kaitan dengan Godfrey Group Limited.

Florence Goh, Rafizi Ramli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain