suria

Rakaman Wanita Diculik Tular

PETALING JAYA: Satu rakaman detik cemas seorang wanita dipercayai diculik, tular di laman media sosial sejak Selasa malam.

Rakaman berdurasi seminit dan 22 saat itu pada awalnya menunjukkan wanita terbabit berjalan bersama seorang lelaki menuju ke sebuah kereta jenis Myvi.

Apabila mangsa menghampiri keretanya, beberapa lelaki kelihatan keluar daripada sebuah lagi kereta yang diletakkan di belakang kereta wanita tersebut.

Beberapa lelaki itu kemudiannya menghampiri wanita tersebut dan mengajak mangsa untuk menaiki kenderaan mereka yang kelihatan seperti Alza.

Bagaimanapun keadaan menjadi cemas apabila wanita itu cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap kumpulan lelaki berkenaan sebelum dipaksa masuk ke dalam kereta.

Berdasarkan kapsyen yang disiarkan oleh pemilik akaun Facebook bernama Adrian Ismail, kejadian berkenaan berlaku di Regalia Residence di Jalan Sultan Ismail di ibu negara.

"Tolong mohon #viralkan kawan saya punya staf kena culik dengan orang yang tidak dikenali...," antara kapsyen yang ditulis oleh pemilik akaun itu.

Berdasarkan maklumat pada video itu, kejadian berkenaan pukul 10.22 malam pada 30 Mei.

Pihak polis bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian terbabit.

Culik

Artikel Lain