suria

Sumpah Tak Ambil - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa beliau telah menerima wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bekas timbalan perdana menteri itu, yang kini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, beliau tidak menerima satu sen pun daripada dana tersebut.

Beliau juga bersumpah menafikan dirinya dan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi penerima terbesar wang 1MDB seperti didakwa Nazri sebelum ini.

"Saya bersumpah Wallahi, Wabillahi dan Wattallahi saya dan Shafie tak terima satu sen pun wang 1MDB.

"Itu fitnah. Tiada satu sen pun yang masuk dalam poket. Pakej umrah itu ditaja oleh syarikat," katanya ketika berucap dalam satu program di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, di sini, malam Rabu.

Muhyiddin berkata, apa yang dipertikaikan beliau dan Shafie adalah wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mana ada duit? Dia (Nazri) dah tak boleh nak jawab, dia cuba tepis sana-sini, lama-lama tak boleh jawab dah," katanya.

Pada Ahad lalu, Nazri yang merupakan Anggota Majlis Tertinggi Umno mendakwa beliau adalah antara penerima dana dari derma RM2.6 bilion, dan memberitahu Muhyiddin dan Shafie turut menerima bahagian lebih besar daripada dana.

Bagaimanapun Shafie  berkata, kenyataan Nazri tidak masuk akal dan palsu.

"Setakat yang saya tahu, Najib tidak pernah beri saya apa-apa wang daripada 1MDB," kata Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna.

Katanya, beliau hanya berbincang dengan perdana menteri mengenai pembiayaan itu, mengenai bantuan untuk menunaikan umrah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain