suria

Bubuh Nama Syok-Syok Buat Apa? - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Siapa pun calon perdana menteri tidak memberi sebarang erti jika Pakatan Harapan tidak memenangi pilihan raya umum akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini berkata, sesiapa sahaja boleh menjadi calon untuk jawatan itu tetapi faktor yang paling penting adalah menang pilihan raya.

Ketika diminta mengulas mengenai kajian yang dijalankan oleh organisasi kaji selidik, Invoke, di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama untuk menjadi perdana menteri, Dr Mahathir berkata: "Dia salah seorang calon. Belum disahkan lagi.

"Jika kami menang, barulah boleh namakan calon.

"Kalau tak menang, bubuh nama syok-syok buat apa? Syok sendiri?," kata bekas perdana menteri itu kepada pemberita selepas ceramah PPBM di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru di sini, Rabu.

Dr Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah 'terperangkap' ketika Kongres Nasional PKR pada Ahad apabila mereka tidak menyertai pemimpin Pakatan Harapan dan perwakilan PKR yang memegang sepanduk dengan tulisan 'Anwar PM Ke-7'.

Dr Mahathir dilihat memegang telefon mudah alih, manakala Muhyiddin hanya tersenyum dan bertepuk tangan.

Dalam ceramah itu, Dr Mahathir berkata, beliau yakin polis mampu mengekalkan keamanan dan ketenteraman jika debat antara beliau dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz diadakan.

"Nazri cuba jadi hero. Dia mahu debat dengan saya tapi pada saat-saat akhir, dia kata polis tidak membenarkannya," katanya.

Ahad lalu, Nazri mendakwa cadangan debat dengan Dr Mahathir telah dibatalkan kerana beberapa pemimpin Umno telah diarahkan oleh pihak polis untuk membuat laporan bagi menghalang debat itu berlangsung.

Tun M, calon PM, Anwar Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain