suria

Siapa Dahului Undian Naib Presiden PAS?

ALOR SETAR: Sebanyak 21 kerusi melibatkan tiga naib presiden dan 18 jawatankuasa kerja PAS Pusat menjadi pertaruhan sepanjang proses pemilihan untuk melengkapkan barisan kepimpinan parti sesi 2017-2019.

Pengumuman keputusan rasmi akan dilakukan pada Isnin yang juga hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-63 yang berlangsung di Kompleks PAS di Kota Sarang Semut, Kedah.

Bukan lagi rahsia bahawa perebutan jawatan naib presiden yang menyaksikan pertembungan empat calon iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Nasrudin Hassan menjadi tumpuan utama pada pemilihan kali ini.

Tentunya sebelum diketahui calon yang berjaya mengisi senarai kepimpinan parti itu, pelbagai spekulasi dan hujah akan diketengahkan untuk mempertahankan pemimpin pilihan masing-masing.

Siapa yang kini mendahului undian untuk jawatan naib presiden dan jawatankuasa kerja? Pastinya, barisan Lembaga Pemilihan PAS yang maklum mengenai perkembangan terkini ini.

Berdasarkan pengalaman proses pemilihan pada muktamar terdahulu, keputusan 'bocor' agak sukar berlaku, sekali gus bermakna semuanya akan terjawab menjelang keesokan hari nanti.

Yang pasti, setiap calon mempunyai kewibawaan masing-masing untuk memikul tanggungjawab melaksanakan tugas terutama bagi memperkukuhkan jentera parti menjelang pilihan raya umum nanti.

Nasib Iskandar turut mencuri pandangan ramai aabila beliau berdepan dilema untuk meneruskan kerjasama politik bersama PKR dan DAP memandangkan kedudukannya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh PKR.

Ia berikutan hasrat PAS untuk memutuskan tahaluf siyasi politik dengan PKR memandangkan kedua-dua parti itu dilihat sudah tidak lagi sebulu dengan perjuangan masing-masing.

Terdahulu, lima jawatan termasuk presiden dan timbalan telah diisytiharkan menang tanpa bertanding, sekali gus bermakna Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing.

Juga diumumkan awal adalah Hussin Ismail sebagai Pengerusi Tetap manakala Kamal Shaari mengisi slot Timbalan Pengerusi Tetap, selain Najib Mat dan Mat Syukor Abd Aziz bagi jawatan Pemeriksa Kira-Kira.

Selain itu, di peringkat jawatankuasa PAS Pusat pula, seramai 26 calon merebut 18 posisi yang dipertandingkan.

Seramai 1,231 perwakilan telah menunaikan tanggungjawab memilih calon terbaik untuk kepimpinan parti Islam itu.

Artikel Lain