suria

Manifesto Khusus Untuk Kelantan Bagi PRU-14

Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) bersalaman dengan awak-awak kumpulan dikir barat ketika hadir merasmikan pelancaran Jelajah Dikir Barat Peringkat Negeri Kelantan 2017 di Dataran Bukit Bunga, malam Rabu. -fotoBERNAMA

JELI: Umno Kelantan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyediakan manifesto Barisan Nasional (BN) khusus bagi negeri Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata manifesto itu merangkumi komitmen BN untuk memajukan Kelantan dan tumpuan kepada keperluan rakyat serta kemampuan kewangan kerajaan persekutuan.

"Ia (Manifesto) merupakan janji pihak kami (BN) kepada rakyat Kelantan. Walaupun pihak kami kalah pada PRU13, tetapi kami mampu melaksanakan berberapa perkara (pembangunan) untuk rakyat di Kelantan terutamanya berkaitan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang tidak termasuk dalam manifesto PRU13," katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri melancarkan Jelajah Dikir Barat Peringkat Negeri Kelantan 2017 di Dataran Bukit Bunga di sini malam Rabu.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut akan bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat bagi mendapatkan pandangan masing-masing untuk diteliti dan kemudian dimasukkan ke dalam manifesto tersebut.

Mustapa berkata tumpuan akan diberikan kepada soal pembangunan tanah, peluang pekerjaan untuk golongan muda dan pemeliharaan alam sekitar di Kelantan.

"(Manisfesto) berkemungkinan dimuktamadkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi," katanya.

Mengenai program Jelajah Dikir Barat itu, beliau berkata Umno Kelantan akan menggunakan kumpulan dikir barat sebagai platform untuk menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata dikir barat merupakan satu kaedah kreatif yang berkesan bagi menyampaikan mesej kerajaan melalui tokoh pendikir iaitu melalui hiburan dan seloka.

"Kami (BN) akan menggunakan kaedah ini seminggu atau dua minggu sekali di setiap kawasan Parlimen yang terdapat di Kelantan secara bergilir-gilir sehingga menjelang PRU14," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain