suria

Pendaki Wanita Terseliuh Kaki Diusung Turun Dari Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga Kanada terpaksa diusung turun dari Gunung Kinabalu kerana tidak dapat berjalan selepas kakinya terseliuh ketika di puncak tertinggi Asia Tenggara itu.  

Nicole Catherine Tiberio, 27, terpaksa dibawa ke Timpohon Gate menggunakan alat usungan oleh dua anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinbabalu (MoSAR) selepas mangsa mengalami kecederaan itu semasa melakukan aktiviti di laluan Walk The Torq, pagi Isnin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, MoSAR juga terpaksa mengusung mangsa kerana usaha menggunakan helikopter membawanya turun gagal akibat hujan lebat, sekali gus tidak boleh mendarat di Laban Rata.

"MoSAR dimaklumkan kejadian itu pada pukul 10.30 pagi semalam. Anggota penyelamat bergegas ke Laluan Kota Belud dan membawa mangsa naik ke Laluan Ranau menggunakan pengusung.

"Kumpulan itu tiba di Pendant Hut pada pukul 3.45 petang dan terpaksa bermalam di sana. Usaha menurunkan mangsa dengan helikopter pagi ini gagal dilakukan kerana tidak dapat mendarat berikutan hujan lebat," kata jurucakap itu. 

Pasukan penyelamat yang dibantu enam pekerja Taman-Taman Sabah serta dua jurulatih Mountain Torq kemudian mula mengusung mangsa turun ke Timpohon Gate iaitu tempat memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu pada pukul 11 pagi dan tiba di sana pada 2.15 petang.

Mangsa kemudian diserahkan kepada ejen pelancongan yang kemudian membawanya ke hospital di Kota Kinabalu. - Bernama


Artikel Lain