suria

Md Raus Dilantik Ketua Hakim Negara

Md Raus Sharif.

KUALA LUMPUR: Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa pada Sabtu.

Beliau menggantikan Tun Arifin Zakaria yang mencapai tempoh perkhidmatan 66 tahun enam bulan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Kenyataan itu memaklumkan Sultan Muhammad juga memperkenankan pelantikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Md Raus.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop pula dilantik sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Zulkefli.Semua pelantikan tersebut berkuat kuasa 1 April.

"Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Arifin Zakaria di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan," menurut kenyataan itu.

Sultan Muhammad juga telah memberi perkenan supaya majlis penyampaian watikah-watikah pelantikan untuk hakim-hakim berkenaan diadakan Isnin ini (3 April) pada pukul 11 pagi.

Ketua Hakim Negara akan mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Empat Hilang Di Gunung Panti

Artikel Lain