suria

Najib Pelawa Rajinikanth Buat Penggambaran Sekuel Kabali Di Malaysia

CHENNAI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah mempelawa bintang filem Tamil, Rajnikanth, untuk membuat penggambaran sekuel filem Kabali di Malaysia.

Katanya perkara itu disampaikan dalam pertemuan beliau dengan pelakon dan pengarah popular itu, yang nama sebenarnya Sivaji Rao Gaekwad, di sini Jumaat.

Najib berkata tawaran itu antara strategi untuk memasarkan keindahan dan keunikan Malaysia kepada pelancong dari India dan seteruskan menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari negara itu.

"Saya lihat prospek pelancongan negara boleh dipasarkan secara lebih meluas lagi di negara ini dan sebab itu saya jumpa Rajnikanth dan tawarkan beliau buat penggambaran sekuel filem Kabali di Malaysia.

"Setakat yang saya tonton filem itu ada menggambarkan keindahan negara," katanya yang memaklumkan telah menerima respon positif daripada pelakon itu berkenaan tawaran berkenaan.

"Ada kemungkinan (beliau setuju) kerana skrip (sekuel filem berkenaan) sedang dirangka, dan beliau juga menyatakan puas hati dengan layanan yang diberi semasa penggambaran filem Kabali," katanya kepada pemberita Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi beliau di Chennai.

Kabali, yang merupakan filem berbahasa Tamil, memaparkan kisah kehidupan sebenar kumpulan penjenayah (Don) di India dan ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 22 Julai 2016 dan 29 Julai 2016 dalam versi bahasa Malaysia.

Ia merupakan filem ke-159 lakonan Rajnikanth dan diarahkan oleh P.Ranjith serta menjalani penggambaran di Malaysia, Bangkok, Thailand serta Hong Kong.

Filem yang mencatat kutipan RM334 juta itu turut dilakonkan oleh beberapa artis tempatan termasuk Datuk Rosyam Noor, Norman Hakim dan Jack Taipin.

Terdahulu, mengulas lawatan dua harinya ke Chennai, Najib berkata beliau berpuas hati dengan hasil lawatan itu yang antara lain membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama untuk diterokai.


Artikel Lain