suria

Anggota JPJ Didakwa Terima Rasuah

SEREMBAN: Ketua Pemeriksa Kereta Motor, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah.

Tertuduh Md Zamri Atan @ Mohd Salleh, 36, didakwa menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada Ng Ken Hing sebagai upah untuk mempercepatkan Laporan Pemeriksaan Kenderaan bagi kenderaan Perodua Myvi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Kejuruteraan Automatif, JPJ Negeri Sembilan, 11 pagi, 15 Julai 2013.

Md Zambri didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menetapkan jumlah denda minimum memandangkan dia perlu menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah dan ibu di kampung.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurdiyanah Mohd Nawawi memohon mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun Hakim Fathiyah Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 2 Mei.

-- Bernama
JPJ, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain