suria

Jong-nam: Media Masih Berkumpul Di Kedutaan Korea Utara

KUALA LUMPUR: Lebih sebulan selepas kematian Kim Jong-nam, petugas media masih berkumpul di kedutaan Korea Utara ketika timbul khabar angin bahawa beberapa penghuninya bersedia untuk meninggalkan negara ini.

Lebih 12 wartawan dan jurugambar dari agensi media tempatan dan antarabangsa berada di luar kedutaan tersebut yang terletak di Jalan Batai, Bukit Damansara di sini, pagi Khamis.

Seorang posmen memasuki perkarangan kedutaan itu untuk menyerahkan surat dan sebuah kereta dilihat meninggalkan kedutaan pada pagi sebelum kembali tengah hari tadi.

Sebuah kereta polis dan beberapa anggota polis turut dilihat berkumpul di luar kedutaan itu.

Pada Ahad, empat lelaki berpakaian biasa yang dipercayai pegawai Cawangan Khas memasuki perkarangan kedutaan dan berada di sana kira-kira tiga jam.

Pada 24 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis percaya bahawa tiga suspek warga Korea Utara yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam sedang bersembunyi di kedutaan tersebut.

Salah seorang daripada mereka, kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il yang sebelum ini dirakamkan oleh siaran TV Jepun, Asahi sedang bermain snooker di tingkat dua bangunan kedutaan dua tingkat itu.

Dua lagi suspek yang dikehendaki polis merupakan setiausaha kedua kedutaan, Hyun Kwang-song dan Ri Ji-u, 30, yang turut dikenali sebagai James.

Polis antarabangsa turut mengeluarkan notis merah untuk menangkap empat suspek Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan Jong-nam.

Jong-nam mati dibunuh pada 13 Februari lalu oleh dua wanita asing yang menggunakan agen saraf VX dengan menyapu bahan kimia berbahaya itu di muka mangsa.

Kejadian itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika mangsa sedang menunggu penerbangan ke Macau.

Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol seperti di dalam pasportnya, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Kim Jong-nam, Korea Utara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain