suria

Mayat Jong-nam Diterbangkan Ke Beijing?

Van yang membawa mayat Jong-nam meninggalkan perkarangan HKL kira-kira pukul 1.40 tengah hari Khamis.

KUALA LUMPUR: Mayat abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam tidak lagi berada di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sudah dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Difahamkan mayat tersebut akan dihantar ke Beijing.

Sebelum itu, di kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara di sini, kenderaan kedutaan dengan beberapa individu di dalamnya dilihat meninggalkan perkarangan kedutaan tersebut.

Kereta jenis Toyota Alphard yang membawa sekurang-kurangnya lima individu bergegas meninggalkan perkarangan kedutaan kira-kira pukul 3.15 petang.

Di bilik mayat HKL, sebuah van berwarna kelabu yang membawa mayat Jong-nam berangkat ke KLIA kira-kira pukul 1.40 tengah hari.

Beberapa pegawai masih belum memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.

Pada 24 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis percaya bahawa tiga suspek warga Korea Utara yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam sedang bersembunyi di kedutaan tersebut.

Polis antarabangsa turut mengeluarkan notis merah untuk menangkap empat suspek Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan Jong-nam.

Jong-nam mati dibunuh pada 13 Februari lalu oleh dua wanita asing yang menggunakan agen saraf VX dengan menyapu bahan kimia berbahaya itu di muka mangsa.

Kim Jong-nam, Korea Utara

Artikel Lain