suria

Tiada Lagi Agen Saraf VX Di Negara Ini - KPN

KUALA LUMPUR: Agen saraf VX yang digunakan dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam sudah tidak wujud di negara ini, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut Ketua Polis Negara, siasatan pihak berkuasa tidak menemukan sebarang bukti bahawa bahan kimia terlarang itu masih wujud.

"Kita akan tahu jika ia ada," katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Polis ke-210 pada Sabtu.

Berhubung buruan terhadap baki suspek termasuk seorang VIP dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, Khalid berkata wujud perkembangan berhubung siasatannya namun enggan mengulas lanjut.

Sehingga kini Khalid berkata polis tahu bahawa tiga lelaki Korea Utara yang dikehendaki bagi membantu siasatan masih berada di dalam bangunan Kedutaan Korea Utara.

"Kami percaya mereka masih ada dan kami akan menunggu.

"Kami akan mengikuti dan tidak melanggar mana-mana kaedah, peraturan dan protokol yang dipersetujui," katanya.

Suspek berkenaan termasuk seorang kakitangan Air Koryo, sebuah syarikat penerbangan kebangsaan milik pemerintah Korea Utara, Kim Uk-il, 37, dan Setiausaha Kedua Kedutaan tersebut, Hyon Kwang-song, 44 dan Ri Ji-u, 30, yang juga dikenali sebagai James.

Agen Saraf VX

Artikel Lain