suria

Miliki Banglo Berharga Cuma RM100,000

KUALA LUMPUR: Memiliki banglo atau rumah berkembar dengan cuma berharga di bawah RM100,000 seunit.

Dalam realiti sekarang, memiliki banglo hanya satu impian bagi kebanyakan orang tetapi projek itu mahu direalisasikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Johor bertitah projek itu dikenali sebagai "Rumah Impian Sultan Ibrahim" dan buat permulaan 1,840 unit kediaman termasuk banglo dan rumah berkembar akan dibina secara berperingkat-peringkat di tiga lokasi di Johor.

Dalam temu bual eksklusif dengan kumpulan Media Prima Bhd di Istana Flintstone di Mersing baru-baru ini, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu menyelesaikan masalah rakyat yang tidak dapat memiliki rumah walaupun rumah mampu milik.

Sultan Johor menyifatkan projek itu sebagai "hadiah istimewa" baginda kepada bangsa Johor sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-59.

Unit itu dengan keluasan lantai 1,100 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik ialah untuk Bangsa Johor yang tidak mampu untuk membeli rumah, mereka yang tidak memiliki rumah dan mereka yang daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Sultan Ibrahim dilaporkan telah memberi jaminan kepada rakyat bahawa rumah yang bakal dibina itu bermutu tinggi walaupun harganya murah dan baginda sanggup menanggung kerugian, jika berlaku, untuk kepentingan rakyat.

"Saya akan memastikan rumah ini bermutu tinggi. Kekuda bumbung tidak diperbuat daripada kayu, tetapi sebaliknya, kita akan menggunakan "galvanised steel".

"Pintunya tidak akan diperbuat daripada papan lapis murah, dan ia mesti diperbuat daripada bahan lebih tahan lama. Saya tidak mahu membina rumah berkualiti rendah kerana itu memalukan. Saya mahu rakyat berpuas hati dengan kualiti rumah," Sultan Johor dipetik sebagai bertitah oleh akhbar New StraitsTimes.

Sultan Ibrahim bertitah keuntungan daripada penjualan rumah-rumah kedai membolehkan harga rumah disubsidi.

Sultan Ibrahim menjangkakan projek tersebut akan memberi kejutan kepada industri perumahan dan memaksa pemaju swasta menurunkan harga rumah.  

Sultan Johor bersedia memperluaskan projek tersebut jika kerajaan mahu melaksanakan konsep itu.

"Jika projek Rumah Impian Sultan Ibrahim menjadi kenyataan di seluruh negara dan jika saya mendapat sokongan kerajaan persekutuan untuk membina rumah-rumah itu bagi rakyat di seluruh negara, saya akan melakukannya tanpa mengambil untung walaupun satu sen. Biarlah rakyat miliki rumah," titah Sultan Johor.

Baginda berpendapat bahawa harga rumah sekarang terlalu mahal, rumah mampu milikpun terlalu mahal untuk sesetengah rakyat memilikinya kerana mereka hanya mampu melihatnya sahaja.

Temu bual itu diterajui Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) Datuk Mahfar Ali dan anggota lain pasukan itu termasuk penolong editor Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3 Izwan Azir Saleh, Ketua Biro New Straits Times Johor Ahmad Fairuz Othman dan Ketua Biro Berita Harian Johor Junita Mat Rasid. -Bernama

Sultan Ibrahim, Sultan Johor

Artikel Lain