suria

Kaunselor Kedutaan Korea Utara Berang, Staf Cuba Rampas Telefon Wartawan

Dua lelaki tidak dikenali dilihat keluar untuk membuang barangan seperti perabot dan meja di Kedutaan Korea Utara malam Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia Kim Yu-Song berang dengan tindakan wartawan yang merakam gambarnya membuang sampah di hadapan premis kedutaan itu di sini, malam Selasa.

Sambil membawa keluar rangka katil pada 9.15 malam, beliau menjerit-jerit dalam bahasa Korea Utara sambil menunding jari kepada sekumpulan wartawan.

Namun, tindakannya tidak diendahkan wartawan yang terus menjalankan tugas seperti biasa.

Antara barang yang diangkut keluar daripada premis kedutaan itu adalah katil, televisyen, alat pendingin hawa, kerusi, meja bulat dan kotak.

Kira-kira 10 minit kemudian, seorang lelaki dipercayai kakitangan kedutaan pula cuba merampas telefon bimbit seorang wartawan Bernama.

Lelaki itu menghampiri wartawan Bernama berkenaan, yang berada di luar kawasan kedutaan, lalu cuba merampas telefon yang digunakan untuk merakam gambar.

Setelah percubaan itu gagal, lelaki itu terus melangkah mendekati petugas Bernama itu yang kemudian berundur beberapa tapak untuk mengelak provokasi atau kejadian tidak diingini.

Lelaki itu kemudian kembali ke perkarangan premis kedutaan itu bersama-sama Yu-Song.

Petugas media 'berkampung' di hadapan kedutaan Korea Utara sejak kejadian pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di KLIA2 pada 13 Februari lepas.

Artikel Lain