Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Meninggal Dunia - Semasa | mStar

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Meninggal Dunia

Tan Sri Dr Wong Soon Kai

KUCHING: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr Wong Soon Kai, 90, meninggal dunia di kediamannya di sini kira-kira pukul 4 pagi Rabu.

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting ketika dihubungi, mengesahkan Dr Wong yang menjadi presiden parti itu dari 1991 hingga 1996, telah meninggal dunia.

Menurutnya parti itu akan mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan kepada semua anggotanya di negeri berkenaan.

Dr Wong meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Dr Jane Yong, tiga anak, Dr Wong Chee Liang, Dr Wong Chee May dan Wong Chee Ling serta beberapa orang cucu.

Mendiang adalah lulusan pertama Sarawak sebagai doktor bedah di Britain pada 1959.

Mendiang Dr Wong dan isteri merupakan lulusan perubatan Kolej Perubatan Universiti Malaya pada 1947.

Antara rakan sekelas mendiang ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Mendiang bertugas sebagai doktor kerajaan selama 15 tahun diikuti empat tahun di hospital swasta sebelum menyertai bidang politik dan menjadi menteri Kabinet negeri pada 1974.

Dr Wong adalah Timbalan Ketua Menteri dari 1994 hingga 1996 dan juga penasihat sains kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian yang ketika ini berada di luar negara, berkata beliau sedih dengan berita kematian Dr Wong.

"Kami sedih dengan kematian presiden kehormat parti yang juga presiden ketiga kami, awal pagi ini.

"Saya mewakili SUPP mengucapkan takziah kepada Puan Sri Dr Jane Yong, anaknya serta cucu," katanya dalam laman Facebook rasminya.


Tan Sri Dr Wong Soon Kai , SUPP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun

TH cadang letak had dana pendeposit