suria

Kaedah Baharu Pembelajaran B.Inggeris Akan Diperkenal

Datuk Seri Mahdzir Khalid
PUTRAJAYA: Satu kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris melalui dalam talian, Cambridge Accessible Tests (CATs), akan diperkenalkan dengan tumpuan akan diberikan kepada pelajar luar bandar, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata projek perintis program itu akan bermula menjelang hujung tahun ini melibatkan kira-kira 40 sekolah rendah dan menengah di luar bandar dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

Dibangunkan dengan kerjasama Cambridge Malaysia Education and Development Trust (CMEDT), Mahdzir berkata sebuah jawatankuasa kerja yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamed akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan CATs.

"Saya berpendapat ini satu daripada program yang sangat baik untuk pelajar terutamanya di luar bandar yang kurang terdedah kepada Bahasa Inggeris," katanya pada sidang media selepas majlis penerangan Strategi Pelaksanaan Pendidikan Bahasa Inggeris ke Arah Kemenjadian Murid, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Eksekutif CMEDT Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad.

Mahdzir berkata reka bentuk CATs telah dibangunkan oleh CMEDT dan bersedia untuk digunakan, malah guru-guru Bahasa Inggeris juga telah dilatih di English Language Training Centre (ELTC), Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan program itu.

Sementara itu, Pengarah ELTC Dr Mohamed Abu Bakar berkata CATs berfungsi sebagai kaedah tambahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris melibatkan sembilan tahap penguasaan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Penguasaan Bahasa Inggeris pelajar akan diuji dari satu tahap ke satu tahap dan jika mereka mampu menyempurnakan kesemua sembilan tahap, maksudnya penguasaan mereka sangat bagus.

"Apabila pelajar selesai sembilan tahap pembelajaran di sekolah rendah, mereka akan bermula semula pada tahap pertama di sekolah menengah," katanya.

Tambahnya pelaksanaan CATs dijangka mampu meningkatkan peratusan pelajar yang lulus Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 79.4 peratus pada 2016 kepada sasaran 81 peratus menjelang 2020.

Artikel Lain