suria

Nasi Kandar Line Clear P.Pinang Kembali Dibuka

GEORGE TOWN: Restoran Nasi Kandar Line Clear yang telah beroperasi 70 tahun yang diarah tutup kerana isu kebersihan dibuka semula pagi Jumaat.

Premis itu kembali beroperasi selepas mendapat lampu hijau pihak Jabatan Kesihatan dan menawarkan air manis percuma kepada semua pelanggannya sepanjang hari ini.

Pemilik restoran itu, Sahubar Ali Md Haniffa berkata, pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan telah memeriksa premis itu pada Khamis.

"Syukur kerana semua usaha yang dilakukan berbaloi dan pihak berkuasa telah membenarkan kedai dibuka semula.

"Kami telah membersihkan keseluruhan dapur dan minta maaf atas kesilapan yang dilakukan," katanya.

Restoran itu diarah tutup pada Isnin untuk tempoh dua minggu selepas pemeriksaan mengejut yang dijalankan pihak berwajib menemui lipas dan bangkai tikus di bawah almari di dapur.

Sahubar Ali berkata, restoran 24 jam itu dibuka semula pada pukul 6 pagi dengan menyediakan hidangan air sahaja.

Menu kari yang digemari ramai di premis itu akan mula dihidangkan pada pukul 9 pagi dan ditutup sejam bermula pukul 1 petang untuk solat Jumaat.

Artikel Berikut

Artikel Lain