suria

Pesta Belon Udara Panas 'Night Glow' Pukau 6,000 Penonton

Belon udara panas menghiasi ruang udara Putrajaya pada sesi pengenalan 'My Balloon Fiesta' pada Jumaat. Buat julung kalinya, 'My Balloon Fiesta' diadakan di Desa Park City selama tiga hari bermula hari ini bagi memberi peluang kepada warga kota merasai keindahan belon udara panas.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 6,000 pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan belon udara panas 'Night Glow' sempena 'My Balloon Fiesta' yang diadakan di Desa ParkCity bermula Sabtu.

Pesta itu mempamerkan keindahan panorama pertunjukan belon udara panas yang bergemerlapan dan diiringi muzik menghiburkan.

Rata-rata pengunjung begitu asyik menyaksikan belon udara panas yang  dipamerkan dalam pelbagai bentuk, didatangkan khas dari pelbagai negara termasuk India, Vietnam, Filipina, Belgium, Mexico, Sepanyol dan Malaysia.

Seorang pengunjung Noor Farhana Syukor, 31, berkata beliau cukup teruja melihat keindahan warna-warni belon udara panas dipamerkan. 

"Suasana dan pengalaman yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan waktu siang sebab ia menonjolkan keindahan belon udara panas dari sudut berbeza," 

Seakan menyaksikan 'pesta tanglung gergasi', saya membayangkan kalau ia diterbangkan (dibawa naik ke atas) mesti pemandangan lebih memukau," katanya kepada Bernama di sini.

Pelancong dari Indonesia Adit Triyadi Hartoa, 42, berkata melalui penganjuran acara itu pengunjung berpeluang menikmati pemandangan Kuala Lumpur dengan cara yang lebih mengujakan. 

"Jika berpeluang menaiki (belon udara panas) ketika waktu siang tentu seronok dapat melihat pemandangan indah bandar raya yang lebih luas dari atas," katanya. 

Vivian Lee, 35, pula berkata acara tersebut dapat menarik mereka yang berkeluarga untuk beriadah memandangkan ia sesuai disertai semua peringkat umur.

"Tapi kalau dapat diadakan di tempat yang lebih luas dan jumlah belon yang lebih banyak tentu akan tambah menarik," katanya.

My Balloon Fiesta, dahulunya dikenali sebagai Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya, namun bagi edisi kesembilan pada tahun ini, ia pertama kali diadakan di ibu kota.-- Bernama



Desa ParkCity, belon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain