suria

Saya Hanya Ada Satu Akaun Facebook - Ustaz Kazim

IPOH: Penceramah bebas terkemuka, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan hampir 100 akaun media sosial yang menggunakan namanya. 

Beliau yang lebih mesra dipanggil Ustaz Kazim berkata terdapat pelbagai media sosial termasuk Facebook, Instagram dan Twitter yang menggunakan nama beliau sehingga mendapat ratusan ribu pengikut. 

Katanya antara laman Facebook yang menggunakan nama beliau ialah 'Koleksi Kata-Kata Ustaz Kazim' dengan 900,000 pengikut, 'Ustaz Kazim Fan Club' (115,000pengikut) dan 'Kalau Dah Jodoh Ustaz Kazim' (274,000 pengikut).

"Saya hanya mempunyai satu sahaja akaun Facebook iaitu Dato' Ustaz Kazim Elias yang mempunyai 1.2 juta pengikut dan yang lain-lain itu bukan akaun media sosial saya.

"Saya melihat dalam media sosial ada yang mencecah 'like' sehingga 700,000 sedangkan saya tidak mempunyai akaun tersebut," katanya dalam satu sidang media di pada Jumaat.  

Menurut Ustaz Kazim, beliau telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu Selasa lepas.  

"Laporan bertujuan memberitahu kepada masyarakat saya tidak ada akaun media sosial yang banyak dan bagi membolehkan tindakan dapat diambil kepada mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama saya," katanya.

Ustaz Kazim turut melahirkan kebimbangan kerana terdapat 'posting' yang dibuat di media sosial palsu atas namanya menyentuh isu keselamatan negara sehingga boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.

Tambahnya terdapat juga individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan gambar dan alamat Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya di sini untuk memohon pelbagai bantuan. -Bernama

Ustaz Kazim Elias

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain