suria

Pemain Badminton Taiwan Terbang Ke Malaysia Untuk Uji Bakat Watak Chong Wei

GEORGE TOWN: Seorang pemain badminton yang juga pelakon muda berbakat sanggup 'terbang' dari Taiwan untuk menjalani sesi uji bakat bagi watak jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Huang Tzu Wei, pemain wakil daerah dari Taichung berkata dia mengetahui sesi uji bakat itu secara dalam talian dan melalui akhbar Taiwan.

Menjadikan Chong Wei sebagai idola sejak sekian lamanya, remaja berusia 17 tahun itu berkata dia amat gembira untuk mencuba nasib melakonkan watak dalam filem Rise of the Legend, yang menceritakan tentang kisah hidup pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut.

"Rakan-rakan saya beritahu bahawa teknik permainan saya sama seperti Chong Wei.

"Saya tahu saya terpaksa terbang ke sini untuk mencuba nasib dalam filem ini kerana saya juga mahu mengejar cita-cita dalam bidang lakonan.

"Mudah-mudahan saya boleh terpilih untuk melakonkan watak tersebut," kata Tzu Wei yang mula bermain badminton ketika berusia 10 tahun.

Tzu Wei yang tiba pada malam Sabtu dan akan pulang ke tanah airnya pada Selasa merupakan antara 400 peserta yang menjalani sesi uji bakat di Kompleks Sukan Permata di Paya Terubong pada Ahad.

Filem yang dihasilkan CB Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama MAHU Pictures itu akan memulakan penggambaran pada Julai dan ditayangkan semasa sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang.

Penerbit filem itu, Josiah Chieng berkata mereka memerlukan lebih 60 pelakon dengan dua daripadanya memegang watak sebagai Chong Wei dan isterinya yang juga bekas pemain kebangsaan, Datin Wong Mew Choo.

"Filem itu akan menampilkan kisah cinta mereka dan penggambaran akan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Bukit Mertajam pada Julai dan Ogos ini," katanya.

Pengarah Teng Bee berkata jalan penceritaan filem itu adalah berdasarkan autobiografi Chong Wei, Dare to be Champion.

"Kami fokus kepada perjalanan kisah hidupnya terutama ketika dia menjadi pemain terbaik dunia," kata Teng Bee.

Turut hadir pada sesi uji bakat itu pada Ahad adalah abang Chong Wei, Chong Hoon yang juga penerbit filem tersebut.

"Saya harap filem ini akan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk bercita-cita tinggi dan mempunyai impian besar dalam kehidupan mereka," katanya.

Sesi uji bakat itu akan diteruskan di Pusat Sukan Badminton C & Y (Johor Baru) pada Sabtu dan Pioneer Sports di Sunsuria Avenue, Kuala Lumpur pada 18 Mac ini.

Kedua-dua sesi tersebut akan diadakan bermula pukul 11 pagi hingga 3 petang.


Artikel Lain