suria

Perlindungan Untuk Pemberi Maklumat Perlu Dipertingkat

Akhbar Satar.

KUALA LUMPUR: Hanya 50 peratus rakyat Malaysia yang memberi respons kepada kaji selidik Barometer Rasuah Global 2017 secara peribadi berasa bertanggungjawab untuk melaporkan perbuatan rasuah yang mereka saksikan.

Daripada jumlah itu, 23 peratus mengaku memberi rasuah untuk mendapat akses kepada perkhidmatan awam, kata Transparency International Malaysia.

Ketika membentangkan dapatan tentang kaji selidik itu di sini Selasa, presiden TI-M Datuk Akhbar Satar menyeru agar perlindungan "lebih kukuh" diberi kepada pemberi maklumat sebagai langkah untuk menjadikan orang ramai lebih bersedia melaporkan perbuatan rasuah dan bersuara untuk menentangnya.

"Banyak orang berasa takut mengenai akibat buruk daripada memberi maklumat tentang rasuah dan ini terbukti apabila kira-kira 16 peratus daripada responden menerima tindak balas atau akibat buruk lain kerana membuat laporan tentang rasuah," katanya pada satu sidang akhbar.

Kaji selidik itu, yang dimuatkan dalam General Corruption Barometer for Asia Pacific, melibatkan 1,009 responden di negara ini antara September dan Disember tahun lepas.

Akhbar berkata penerima rasuah termasuklah polis.

"Pihak lain pula terdiri daripada mereka yang terlibat dengan perkhidmatan pendaftaran/permit/identiti dan perkhidmatan perubatan atau kesihatan," katanya.

Tiga puluh sembilan daripada penerima rasuah berusia 35 tahun dan ke bawah.

Dari segi positifnya pula, kata beliau, kaji selidik itu mendedahkan bahawa 55 peratus daripada rakyat Malaysia berpendapat mereka boleh melakukan perubahan dalam usaha mememrangi rasuah dan 48 peratus berkata mereka tetap akan membuat laporan tentang sesuatu kes, walaupun terpaksa menghabiskan masa sehari suntuk untuk memberi keterangan di mahkamah.

Negara lain yang terlibat dalam kaji selidik mengenai persepsi orang ramai tentang rasuah dan keberkesanan kerajaan dalam menangani amalan rasuah itu ialah Australia, Korea Selatan, Jepun, Kemboja, Indonesia, Thailand, Vietnam, Taiwan, China, India, Pakistan, Myanmar, Sri Lanka dan Mongolia.

Sebanyak 21,861 orang di negara terlibat, termasuk Malaysia, mengambil bahagian dalam kaji selidik itu, yang diadakan dari Julai 2015 hingga Januari 2017.

Laporan tentang kaji selidik itu boleh dibaca di laman sesawang TI-M www.transparency.org.my mulai minggu depan. - BERNAMA

Artikel Lain