suria

Waris Diberi Dua Minggu Tuntut Mayat Jong-nam

KUALA LUMPUR: Polis memberi tempoh dua minggu kepada waris Kim Jong-nam bagi menuntut mayat lelaki warga Korea Utara itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil mengaku sebagai waris mangsa walaupun selepas enam hari dibunuh.

"Setakat hari ini kami masih belum bertemu waris mangsa. Kami cuba untuk dapatkan kerjasama waris supaya datang membantu siasatan.

"Kami gesa keluarga supaya hadir. Mereka perlu datang sendiri kerana ia sangat penting, kami tak terima kehadiran pihak ketiga (tuntut mayat)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan terbaharu kes pembunuhan Jong-nam iaitu abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, Jong-nam dilaporkan berada di KLIA2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila diserang dua wanita termasuk seorang daripadanya dikatakan menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Selain itu tegas Noor Rashid, kehadiran waris terdekat Jong-nam juga perlu bagi mendapatkan sampel DNA.

"Mereka yang paling layak untuk mengenal pasti mayat secara fizikal ialah waris.

"Kemudian kami akan sahkan sekali lagi secara saintifik. Kami perlu buktikan melalui ujian DNA. Sebab itu adalah sangat penting bagi ahli keluarga terdekat mangsa bantu kami dalam proses mengenal pasti berdasarkan undang-undang Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai langkah yang akan diambil pihak polis jika tiada waris tampil membantu siasatan, Noor Rashid berkata, pihaknya akan mendapatkan bantaun Interpol bagi tujuan berkenaan.

"Kami mempunyai hubungan rapat dengan Interpol dan perjanjian persefahaman dengan negara yang terlibat untuk pastikan mereka tampil atau ditangkap untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Lain