suria

CEO Dego Ride Perlu Beri Keterangan Dalam Masa 7 Hari

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride supaya tampil ke Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya untuk memberi keterangan susulan tindakan saman terhadap tiga penunggang perkhidmatan tersebut pada Isnin.

Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Datuk Valluvan Veloo berkata, pemilik syarikat tersebut diberi tempoh tujuh hari untuk berbuat demikian.

"Kita akan hantar notis kepada pemilik Dego Ride hari ini (Selasa) minta dia hadir untuk direkodkan kenyataan. 

"Kita minta dia datang dalam tempoh tujuh hari ke Ibu Pejabat JPJ Putrajaya mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya sidang media mengenai perkembangan terbaharu isu perkhidmatan Dego Ride di sini Selasa.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemilik Dego Ride masih boleh berunding dengan Kementerian Pengangkutan untuk menyelesaikan isu operasi perkhidmatan tersebut.

"Dia dialu-alukan untuk bertemu dengan Kementerian Pengangkutan bagi membincangkan isu tersebut tapi ia dibawah bidang kuasa kementerian tersebut," kata Valluvan.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru perkhidmatan kontroversi itu, Valluvan berkata, tiga penunggang Dego Ride telah disaman dalam operasi JPJ di sekitar Lembah Klang pada Isnin.

"Dua penunggang disaman di Kuala Lumpur manakala seorang lagi di Selangor dalam operasi penyamaran anggota JPJ," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga penunggang itu dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

"Mereka melakukan kesalahan serius kerana salah guna lesen kenderaan motor (LKM). Jika didapati bersalah,  boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau keduanya," kata Valluvan.

Pada masa sama, beliau turut memberi kata dua kepada penunggang perkhidmatan tersebut supaya tidak lagi meneruskan operasi mereka secara senyap-senyap.

"Melalui pemantauan kita, aplikasi perkhidmatan mereka sudah offline. Jadi kita harap mereka benar-benar menghentikan perkhidmatan tersebut.

"Jika ada penunggang yang masih berdegil, kita akan ambil tindakan. Kita tidak akan berkompromi kerana ia  kesalahan serius," katanya.

Valluvan berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi bagi membanteras perkhidmatan Dego Ride secara haram kerana bimbang kadar kemalangan maut membabitkan motosikal yang semakin meningkat di negara ini.

"Kita akan teruskan operasi rutin bagi mengesan penunggang yang masih berdegil. Berdasarkan statistik kemalangan pada tahun lalu, kira-kira 7,000 kematian membabitkan motosikal direkodkan," katanya.

mStar Online
pada Selasa melaporkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj mengarahkan kira-kira 6,000 penunggang motosikalnya supaya menghentikan operasi serta-merta susulan arahan Kementerian Pengangkutan supaya pihaknya berbuat demikian serta-merta.

Beliau berkata arahan tersebut dikeluarkan sehingga isu perkhidmatan perkongsian pengangkutan menggunakan motosikal itu diselesaikan dengan pihak berkuasa.

Pada Isnin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada Dego Ride supaya tidak mencabar undang-undang dan beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata, undang-undang menetapkan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987, motosikal tidak boleh dijadikan sebagai kenderaan komersial manakala Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) 2010, tidak boleh membawa kenderaan komersial tanpa permit.

Nabil bagaimanapun memberitahu pihaknya terus komited untuk memastikan Dego Ride dapat beroperasi sebagai teksi motosikal secara sah.
Dego Ride, JPJ

Artikel Lain