suria

APMM Tahan Kapal Dagang Asing

GAMBAR FAIL

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal dagang asing di perairan Tanjung Piai, Pontian dekat sini pada Sabtu kerana bersauh tanpa kebenaran.

Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Daerah Maritim Johor Bahru Komander Maritim Iskandar Ishak berkata kapal MV MSC PYLOS itu ditahan pasukan kapal peronda KM Ramunia APMM dalam Op Satria Selatan di 2.2 batu nautika barat daya Tanjung Piai, pada pukul 12.30 tengah hari.

"Ketika pemeriksaan, kapal yang berdaftar di Liberia itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan memaklumkan ketibaan kepada mana-mana pihak berkuasa perairan Malaysia.

"Semasa ditahan, kapal itu yang dikatakan dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, di sini tidak membawa muatan dan berlabuh di kedudukan itu sementara menunggu jadual pelayaran daripada ejen kapal," katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Bernama pada Ahad.

Iskandar berkata pemeriksaan lanjut turut menemui 24 kru warga Filipina dan seorang kru warga Greece berusia antara 25 dan 59 tahun dengan tiga daripadanya dibawa ke pejabat APMM Daerah Maritim Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

Pemilik kapal berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dan mengikut Seksyen 449 Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia.

Selain itu, pemilik berkenaan juga boleh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 kerana gagal membayar Dius Api.

Jika didapati bersalah, pemilik kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya, katanya.

APMM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain