suria

Khidmat Gunting Rambut RM2

Muhammad Hafidz menggunting rambut pelanggannya Muhammad Osman Abdullah, 22, di sebuah surau ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

MUAR: Permainan video komputer semasa menuntut di kolej tahun lepas telah mempengaruhi minda seorang pemuda berusia 29 tahun untuk mengubah haluan dalam memilih bidang kerjayanya.

Biarpun memiliki ilmu dalam bidang kewangan, Muhammad Hafidz Ahmad, 29, mengambil keputusan untuk menjadi seorang tukang gunting rambut dengan menawarkan khidmat ke rumah perlanggan dengan bayaran serendah RM2.

Lepasan diploma jurusan akaun dan kewangan itu berkata beliau menawarkan khidmatnya setelah mendapat ilham daripada permainan komputer.

Katanya, idea tersebut tercetus apabila tertarik dengan teknik peniagaan dalam permainan komputer dan berazam untuk membuka sebuah kedai gunting rambut pada masa hadapan.

"Bagi saya, untuk memulakan perniagaan kita perlu mendapat idea yang pelik, saya dapat idea menawarkan perkhidmatan gunting rambut ini bukan hanya untuk mencari keuntungan semata-mata.

"Sebaliknya bagi membantu golongan kurang upaya seperti warga emas ataupun uzur mendapat perkhidmatan gunting rambut.

"Saya hanya mengenakan bayaran RM2 kerana mahu beramal kepada orang ramai...alang-alang mulakan perniagaan, apa salahnya jika saya turut beramal membantu mereka yang tidak berkemampuan," kata anak kedua daripada enam beradik kepada pemberita di sini Khamis.

Graduan Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Melaka, yang menamatkan pengajian akhir tahun lepas itu, berkata rata-rata pelanggannya membayar lebih daripada RM2 kepadanya yang bertujuan untuk turut sama-sama beramal.

"Selain itu, ada juga pelanggan yang bayar lebih sebagai hadiah kepada saya bagi menampung kos minyak motosikal yang saya gunakan dan ada juga yang beri duit tambah nilai untuk telefon saya," katanya.

Muhammad Hafidz berkata beliau pernah menawarkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada jemaah dua buah surau di sekitar Muar sebagai kerja amal dan mengalakkan orang ramai menunaikan solat berjemaah di surau.

Anak jati Muar itu berkata beliau hanya belajar asas menggunting rambut menerusi laman sosial YouTube dan rakan-rakan sahaja.

"Alhamdulillah, semua pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan saya dan saya belum pernah menolak permintaan pelanggan untuk datang ke rumah mereka," katanya, yang mula berjinak-jinak dengan tugasnya sejak September lepas.

Menurut Muhammad Hafidz, walaupun perkhidmatan menggunting rambut dilakukan secara sambilan, namun ia mampu menampung kos hidupnya.

"Saya boleh peroleh RM700 dalam sebulan kerana kebanyakan orang akan memberi lebih daripada RM2 dan meminta saya agar memberi perkhidmatan percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan mengikut jumlah yang mereka berikan.

"Ada juga yang beri saya RM20 supaya saya boleh sediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada pelanggan lain, katanya. - BERNAMA

gunting rambut, RM2, Muar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain