suria

Dua Rakan Mengaku Tidak Bersalah Terlibat Daesh

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menunjukkan gambar Jasanizam Rosni dan Mohd Sanusi Satar pada sidang media tahun lalu. Foto: SAMUEL ONG/The Star

KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi  atas pertuduhan berkaitan perbuatan kumpulan pengganas Daesh, tahun lalu.

Jasanizam Rosni, 33, dan Mohd Sanusi Satar, 31, kedua-duanya peniaga di pasar malam, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Mahkamah menetapkan 22 Februari untuk sebutan bagi serahan dokumen.

Jasanizam didakwa melibatkan diri dalam persediaan untuk melakukan perbuatan pengganas iaitu bagi melakukan serangan ke atas tokong dan kelab-kelab malam di Johor Bahru, di sebuah rumah, di Kampung Parit Gantung, Seri Merlong, Rengit, Batu Pahat pada Jun hingga 9 Ogos 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JD (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Sanusi pula dituduh melindungi atau mengelak dalam penangkapan Jasanizam dan Md Saifuddin Muji yang diketahuinya bahawa mereka (kedua-dua lelaki itu) telah melakukan perbuatan pengganas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pondok, di atas bukit berdekatan sebuah dusun buah di RPT Sg. Pas, Kuala Krai, Kelantan pada 1 Julai hingga 8 Ogos 2016.

Pendakwaan mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan denda atau penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Ruzaini Zulkifli. -Bernama

Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain