suria

Bank Negara Perlu Jelaskan Isu Rugi RM44 Bilion - PM Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mendapatkan penjelasan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) yang ditanggung bank pusat itu melalui kegiatan perdagangan mata wang antara 1991 hingga 1993.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memandang serius pengakuan bekas Penolong Gabenor BNM ketika itu, Datuk Abdul Murad Khalid mengenai perkara itu.

"Ia satu pengakuan yang kita mesti pandang serius. Bagaimanapun saya dan anggota kerajaan perlu mendapat pandangan dan ulasan Bank Negara dan pihak-pihak lain terlebih dahulu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn pada Jumaat.

Namun Najib berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan oleh jemaah menteri.

Pada Khamis, Abdul Murad mendakwa Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu, sedangkan angka sebenar jauh lebih besar.

Menurut beliau, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan mengenai kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.

Isu kerugian yang dialami BNM akibat kegiatan itu menggemparkan negara pada 1994 tetapi tiada tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat.

Bagaimanapun, pada 3 April 1994, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerugian sebanyak RM5.7 bilion yang dialami  BNM dalam transaksi perdaga­ngan wang asing pada 1993 tidak menjejaskan kedudukan kewa­ngan negara.

Abdul Murad menambah, transaksi berbentuk spekulasi melibatkan pelbagai mata wang asing termasuk pound sterling, dolar Amerika Syarikat (AS), mark Jerman dan yen itu direkodkan oleh seorang kakitangan berpangkat rendah BNM.

Beliau memberitahu, sebarang kerugian dalam transaksi berkenaan sepatutnya dilapor­kan kepada Bahagian Akaun BNM namun perkara itu didakwa tidak berlaku.

BNM, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain