Empat Lelaki Termasuk Anggota DBKL Didakwa Belasah Pemandu Lori - Semasa | mStar

Empat Lelaki Termasuk Anggota DBKL Didakwa Belasah Pemandu Lori

Empat lelaki termasuk seorang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan menyertai rusuhan di Kondominium Puncak Anthenaeum, Bukit Antarabangsa, yang tular di laman sosial, dua minggu lalu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk seorang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan menyertai rusuhan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, di sini, yang tular di laman sosial, dua minggu lepas.

Dalam insiden yang dirakamkan itu, kesemua mereka terbabit dalam insiden membelasah seorang pemandu lori di pekarangan Kondominium Puncak Anthenaeum, Bukit Antarabangsa.

T.Vigneswaran, 40, peniaga nasi lemak, Tengku Hazrul Shah Tengku Hamid, 42, pemilik syarikat sekuriti, Mohd Neezam Jelani, 35, anggota penguat kuasa DBKL dan Izakri Zakaria, 38, pemandu peribadi, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor.

Keempat-empat tertuduh didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas telah menyertai rusuhan yang boleh mencederakan, di pos pengawal kondominium tersebut pada 2.30 petang, 14 Januari lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin menawarkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.

Peguam Badrul Syah Syafiq, yang mewakili keempat-empat tertuduh, memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan kesemua tertuduh perlu menyara keluarga dan mempunyai anak yang masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, Vigneswaran berdepan satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pengawal keselamatan warga Nepal, B.K Shyam, 26, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Vigneswaran diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa atau wakil dan menetapkan 7 Mac untuk sebutan semula kes.

Minggu lepas,  sebuah rakaman video menjadi tular di laman sosial yang memperlihatkan aksi beberapa lelaki membelasah pemandu lori itu kerana dikatakan telah melanggar sebuah kereta mewah di pekarangan kondominium itu.-Bernama

pukul pemandu lori , empat didakwa

Artikel Sebelum

PM Bayangkan PRU-14 Bukan Tahun Ini

Artikel Berikut

IBR: Contohi Kerajaan Sarawak - SPRM

Artikel Berkaitan

Kes Pukul: Pemandu Lori Masih Trauma

Lebih Artikel

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM