suria

PMB Belanja RM200,000 Beli Pakej Iklan TRW Tahun Lalu

PETALING JAYA: Pelaburan Mara Berhad (PMB) menjelaskan penajaan skuad The Red Warriors (TRW) pada 2016 melibatkan perbelanjaan sebanyak RM200,000 menerusi pembelian pakej pengiklanan komersial yang ditawarkan pasukan itu.

Dalam kenyataan pada Selasa, PMB berkata perbelanjaan itu merangkumi 9 peratus daripada keseluruhan peruntukan syarikat untuk aktiviti penjenamaan dan pemasarannya.

"Penajaan pasukan bola sepak merupakan kaedah pemasaran yang sama seperti pemasaran melalui media elektronik, cetak, atas talian dan kaedah pemasaran out of home yang lain.

"Penajaan itu adalah salah satu inisiatif bagi memaksimumkan kebolehlihatan jenama syarikat kepada masyarakat umum," katanya.

Menurut PMB, syarikat tersebut adalah sebuah entiti komersial yang mempunyai peranan berbeza dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Sebagai sebuah syarikat komersial dan berasaskan keuntungan, Pelaburan Mara Berhad mempunyai strategi perniagaan dan pemasaran yang tersendiri untuk meningkatkan pendapatan serta keuntungan.

"PMB Investment pula merupakan anak syarikat penuh Pelaburan Mara yang menjalankan perniagaan unit amanah dan mempunyai status Syarikat Pengurus Dana Islamik (IFMC)," katanya.

Jelas syarikat itu, keputusan penajaan skuad Kelantan dibuat secara amalan biasa berdasarkan belanjawan tahunan yang diperuntukkan bagi aktiviti pengiklanan dan pemasaran yang diluluskan Lembaga Pengarah.

Katanya, ia sejajar dengan arahan Lembaga Pengarah yang mahukan syarikat meningkatkan pendedahan terhadap jenama syarikat bagi mengukuhkan kebolehlihatan jenama agar mampu bersaing dalam industri.

"Penajaan ini dibuat atas dasar komersial bagi aktiviti penjenamaan dan pemasaran untuk meningkatkan jualan seterusnya keuntungan syarikat.

"Adalah menjadi dasar Pelaburan Mara Berhad, khususnya PMB Investment untuk meningkatkan kebolehlihatan jenama syarikat memandangkan kumpulan ini melalui proses penjenamaan semula pada 2014," katanya.

PMB berkata usaha pengukuhan jenamanya akan terus dipertingkatkan bagi mencapai objektif utama syarikat.

Katanya, prestasi syarikat pada 2016 menyaksikan peningkatan dengan mencatatkan keuntungan hampir 300 peratus berbanding 2015.

"Jualan dana unit amanah bagi PMB Investment pula telah melebihi sasaran di mana meningkat melebihi 40 peratus dalam tempoh setahun.

"Selain itu, jumlah perundingan unit amanah turut meningkat sebanyak 55 peratus pada 2016 berbanding 2015," katanya.

PMB merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan Mara sebanyak 60 peratus daripada keuntungan keseluruhan Mara bagi tahun kewangan 2016.






Artikel Lain