suria

Pelajar Unimas Gempar Buaya 2 Meter Lintas Kawasan Pangsapuri

Gambar Hiasan

KOTA SAMARAHAN: Sekumpulan penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Taman Desa Ilmu di sini pada Isnin malam , gempar apabila seekor buaya kira-kira dua meter panjang, melintas di jalan kawasan perumahan mereka.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya menerima laporan daripada penghuni Apartment Rafflesia mengenai penemuan itu pada kira-kira 10.26 malam. 

Beliau berkata sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikejarkan ke lokasi.

"Bagaimanapun sebaik sahaja pasukan bomba sampai di tempat kejadian, buaya tersebut dilaporkan sudah tiada, dipercayai masuk semula ke dalam parit berhampiran apartmen itu," katanya di sini, Selasa ini.

Farhan Sufyan berkata pihaknya sudah memaklumkan kes itu kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.-- Bernama


Unimas, buaya

Artikel Lain