suria

Anina Sokong Siapa Sahaja Dinamakan Ketua Srikandi

Anina Saadudin.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin akan menyokong sepenuhnya sesiapa sahaja yang dilantik untuk memegang jawatan Ketua Srikandi.

"Saya akan menyokong penuh kepimpinan baru ini dan saya yakin dan percaya Srikandi seluruh negara akan turut mentaati dan bekerjasama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Anina berkata beliau percaya PPBM akan segera melantik calon Ketua Srikandi baharu yang berpengalaman luas mengemudi sayap wanita dan berani bersuara lantang menentang kleptokrasi di pentas-pentas politik.

Walaupun menunjukkan sokongannya, Anina menafikan kenyataan pucuk pimpinan parti itu terhadap beliau semasa dirinya beliau digugurkan daripada jawatan Ketua Srikandi PPBM.

Anina berkata jika terbukti beliau telah mencemarkan imej parti, maka beliau mengesyorkan supaya dirinya dipecat dari parti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyatakan dirinya tidak disyorkan untuk menjadi Ketua Srikandi kerana isu peribadi yang menjejaskan imej parti.

Anina kemudiannya menjelaskan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh perlu merujuk kepada watikah asal apabila beliau berkata angkat sumpah jawatan pada 2 November lalu adalah kesalahan teknikal.

Pada masa sama Anina turut mencabar Ketua Penerangan Datuk Kamaruddin Mat Nor berhubung dakwaannya bahawa beliau tidak pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi sejak awal lagi.

"Jika saya tidak pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi, adakah (Presiden PPBM Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) dan Mukhriz telah melakukan kesilapan setiap kali menyebut nama saya sebagai Ketua Srikandi dalam ucapan serta ceramah di seluruh negara?," soalnya.

Terdahulu, Muhyiddin berkata Anina gagal mencapai prestasi seperti yang diharapkan.

Anina Saadudin, PPBM, Ketua Srikandi

Artikel Berikut

Artikel Lain