suria

Kes Pengawal Peribadi Lepas Tembakan Disebut 22 Mac

GAMBAR FAIL

GEORGE TOWN: Kes pengawal peribadi yang didakwa atas lima pertuduhan cubaan membunuh dengan menembak lima individu menggunakan sepucuk senjata api di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini akan disebut semula pada 22 Mac depan.

Hakim Mahkamah Sesyen 1, Roslan Hamid menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Idris memohon tarikh sebutan baharu berikutan laporan perubatan mangsa dan laporan kimia masih belum diperolehi.

Di mahkamah itu, tertuduh Ja'afar Halid, 37, berdepan tiga pertuduhan cubaan membunuh dengan menembak K.Arivani,33, di kepala, Nurul Huda Ab Aziz, 38, di bahu dan Lee Hong Boon, 56, di dada kiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini antara pukul 7.15 malam dan 7.30 malam, 1 Disember tahun lepas.

Sementara itu di mahkamah sesyen berasingan Hakim Irwan Suaibon turut menetapkan tarikh sama sebagai sebutan semula kes bagi dua pertuduhan cubaan bunuh yang dihadapi pengawal itu di hadapan hakim berkenaan.

Irwan turut menetapkan tarikh sama selepas Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim memaklumkan pihaknya juga belum memperolehi laporan perubatan mangsa dan laporan kimia.

Ja'afar berdepan dua pertuduhan cubaan membunuh dengan menembak Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 28, di dada kiri dan Puah Bee Joo, 32, di bahu pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi setiap kesalahan itu yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Tembak, Pengawal Peribadi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain