suria

Adenan Tidak Pernah Ulas Polisi Kek Halal McD - Abdullah

KUCHING:Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung polisi McDonald's melarang pelanggan membawa masuk kek tidak mempunyai status tanda halal ke dalam premisnya, kata Ketua Setiausaha Politik kepada Adenan, Abdullah Saidol.

Beliau berkata kenyataan yang dibuat oleh seorang setiausaha politik kepada Adenan daripada Parti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berhubung polisi tersebut dibuat atas kapasiti peribadi beliau sendiri.

"Perlu diingatkan bahawa McDonald's adalah sebuah entiti perniagaan, polisi yang diumumkan oleh McDonald's adalah satu keputusan perniagaan mereka.

"Kerajaan negeri tidak ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan McDonald's, maka tidak perlu untuk kita mencampuri urusan mereka, kecuali mereka ada melanggar mana-mana undang-undang atau garis panduan perniagaan," katanya dalam kenyataan, di sini, Sabtu.

Abdulllah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Semop berkata Sarawak adalah contoh terbaik sebuah negeri yang mempunyai tahap perpaduan berbilang bangsa serta toleransi yang tinggi.

"Kuching telah diumum sebagai "City of Unity" yang pertama di Malaysia.

Kita sebagai anak negeri harus merasa bangga dengan imej unik dan kesatuan dalam kepelbagaian ini," katanya. 

Abdullah berkata, beliau tidak faham bagaimana isu kek halal itu boleh menjerumuskan ke arah unsur-unsur fanatik dan perkauman.

Beliau berkata, Adenan lebih mementingkan isu yang berkaitan dengan kebajikan serta keperluan rakyat terutama di luar bandar dan usaha untuk mendapat peruntukan yang lebih dari Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembangunan negeri.

"Saya percaya warga negeri cukup matang untuk tidak mudah terpengaruh dengan isu remeh ini. Negeri kita tidak akan menyambut sesiapa yang berfikiran atau bersikap suka berburuk-sangka serta ektremis. 

"Semua warga negeri yang berbilang bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politik bertanggungjawab untuk memastikan keharmornian dan keamanan dikekalkan lebih dari agenda politik," kata Abdullah.

Beliau menegaskan sikap toleransi dan menghormati sensitiviti kaum serta agama lain mesti tertanam menjadi sebahagian daripada jati diri setiap anak negeri dan sesiapa yang gagal untuk menghormati sentimen itu dan sering menunjuk sikap antiperpaduan mesti dibenci dan dipinggirkan.-- Bernama


McDonald, Adenan Satem

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain