Mapim, Turki Rancang Bina 1,000 Rumah Kontena Untuk Pelarian Syria - Semasa | mStar

Mapim, Turki Rancang Bina 1,000 Rumah Kontena Untuk Pelarian Syria

Misi kemanusiaan Syria yang diketuai Sani (tiga, kanan) ditemui media setibanya di Terminal Ketibaan KLIA pada Selasa. Ketibaan misi tersebut disambut Setiausaha Mapim, Zulhanis Zainol (kiri). Foto Bernama

SEPANG: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama kerajaan Turki merancang untuk membina 1,000 rumah kontena bagi kemudahan pelarian di Syria.

Pengarah Strategik Mapim, Sani Arabi Abd Halim berkata, tinjauan mereka mendapati banyak khemah pelarian yang digunakan sejak tiga tahun lalu kini rosak dan ia juga kurang sesuai dari segi privasi dan kebersihan.

"Perkampungan pelarian yang akan diberi nama Kem Malaysia-Turki ini akan dibina mulai Februari ini yang mana Mapim dan Turki akan menjadi operator bersama kem tersebut selama tiga tahun," katanya kepada media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Selasa malam.

Jelasnya, Mapim melihat peranan untuk membantu rakyat di Syria adalah penting kerana menjangka konflik di sana semakin rumit dengan penglibatan kuasa besar termasuk Iran dan Rusia serta mungkin akan berterusan sehingga lima ke 10 tahun.

"Jadi kita juga merancang pada awal Februari nanti untuk membina Pusat Bantuan Hubungan Kemanusiaan Malaysia-Turki bagi memberi bantuan terus kepada pelarian di sana," katanya.

Sani Arabi bersama tiga ahli Mapim berlepas ke Syria pada 27 Disember lalu bagi menyalurkan bantuan kecemasan kepada pelarian Syria yang kini sedang menghadapi musim sejuk.

Jelasnya, misi kali ketujuh itu dianggap berjaya kerana empat kali mereka memasuki bandar Aleppo untuk menghantar bantuan termasuk bekalan makanan, selimut, peralatan pemanas dan perubatan.

"Ketika di sana, kami mendapati keadaan di kota Aleppo yang sebelum ini padat dengan sekitar 10,000 ke 20,000 penduduk kini lengang seperti bandar hantu dengan tinggalan runtuhan bangunan dan kesan tembakan di merata tempat," katanya.

Bagaimanapun, pada misi kali ini mereka hanya dapat membawa bantuan kepada kurang 20,000 pelarian berbanding jumlah pelarian yang kini mencecah 12 juta orang.

"Keadaan di sana diburukkan lagi dengan cuaca sejuk sehingga negatif enam termasuk hujan, kabus dan salji tanpa bantuan makanan, perubatan dan keperluan asas lain yang mencukupi," katanya.

Katanya, Mapim menyasarkan RM2 juta mampu dikumpul daripada derma rakyat Malaysia sebelum rombongan kedua Mapim yang disertai 10 anggotanya berlepas pada 15 Januari ini bagi menghantar pelbagai bentuk keperluan kepada pelarian.

Pihak yang berminat memberi sumbangan boleh menyalurkan derma tersebut melalui akaun Maybank 5628 3463 6987 atas nama Syria Emergency Appeal Dana Mapim. - Bernama

Mapim

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain