suria

Tawar Ganjaran Untuk Maklumat Pemburuan Haram - Wilfred Lingham

Seekor gajah yang dibunuh pemburu haram ditemui di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Kawag, Lahad Datu pada 27 Disember lalu. - BERNAMA

KOTA KINABALU: Ganjaran perlu ditawarkan kepada pemberi maklumat untuk menangkap pemburu haram yang membunuh dua ekor gajah di Sabah baru-baru ini, kata Datuk Wilfred Lingham.

Bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, pemberian ganjaran boleh menggalakkan orang ramai untuk melaporkan kegiatan pemburuan haram.

"Langkah ini mampu memberi kesan terhadap pemburu haram. Biarkan pemburu pula diburu," katanya sambil menambah jabatan hidupan liar mempunyai kuasa untuk memberi ganjaran kepada mana-mana pihak yang menyalurkan maklumat tentang pemburu haram.

Lingham percaya bahawa pemburu yang membunuh dua ekor gajah untuk mendapatkan gading merupakan sekumpulan kecil penjenayah.

"Malah mereka lebih gemar menggunakan peluru yang diubahsuai untuk membolehkan senjata itu mencapai kesan maksimum sehingga menembusi jantung atau otak gajah dan mengakibatkan kematian serta-merta," katanya.

Selain itu jelas beliau, kawalan ketat perlu dilaksanakan di pintu keluar Sabah bagi memastikan gading gajah tidak dibawa keluar dari negeri itu.

"Gading berkenaan mungkin diseludup keluar menerusi sempadan Indonesia atau Filipina menuju ke China," ujarnya.

Seekor gajah ditemukan mati di kawasan Hutan Simpan Kawang pada 27 Disember manakala seekor lagi mamalia itu dijumpai di luar kawasan Hutan Simpan Ulu Segama pada 31 Disember.

Gajah kedua yang ditemukan dikenali sebagai Sabre dan memakai alat pengesan satelit di bahagian leher selepas dipindahkan ke hutan berkenaan kira-kira tiga bulan lalu.

Wilfred Lingham

Artikel Lain