suria

Najib Tempelak Pembangkang Tuduh Kerajaan Jual Kedaulatan Negara Kepada China

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pihak pembangkang yang sering kali memutarbelitkan setiap tindakan kerajaan termasuk menuduh menjual 'kedaulatan negara' kepada China ketika lawatan kerjanya ke negara itu baru-baru ini.

Najib berkata tindakan pembangkang itu dilihat cuba untuk menafikan kejayaan yang diraih oleh kerajaan hasil lawatan tersebut sehingga mampu membawa masuk pelaburan bernilai RM144 bilion.

"Mereka selalu hendak menafikan kejayaan besar yang kerajaan lakukan demi manfaat pembangunan negara ini sedangkan sejak arwah bapa saya lagi Tun Razak sudah bekerjasama dengan negara China ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Gabungan Persatuan Cina Pahang (GPCP) bersempena sambutan ulang tahun ke-31 serta upacara angkat sumpah GPCP dan Persatuan Huazong di sini, Sabtu malam.

Majlis turut dihadiri Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Duta Besar China di Malaysia Huang Hui Kang.

Perdana menteri turut menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak adil kerana jumlah pelaburan besar itu memberi manfaat kepada rakyat termasuk pelaksanaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer.

"Mereka kata kita jual kedaulatan negara kepada China, tetapi dahulu bila Dasar Pandang Ke Timur (diperkenalkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pelaburan Jepun di Malaysia, tidak pula dibangkitkan isu ini.

"Ia sama sahaja sebenarnya kerana tujuan asas kerajaan ialah mewujudkan pekerjaan serta mengembangkan ekonomi negara dan atas dasar keadilan ia harus memberi manfaat kepada semua," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua badan bukan kerajaan seperti GPCP agar terus beri kepercayaan kepada kerajaan untuk mentadbir negara ini kerana kerajaan sedia ada telah membuktikan dapat mentadbir negara dengan baik dan bukan hanya bercakap kosong semata-mata.

Najib berkata hubungan yang erat antara kerajaan bersama badan bukan kerajaan kaum Cina juga mampu menjadi jambatan yang baik dalam mengeratkan lagi hubungan antara dua pihak sekaligus dapat memajukan lagi masyarakat Cina di negara ini.

Sebagai perdana menteri, beliau akan memastikan kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional akan menjadi negara yang terus berpegang kepada prinsip kesederhanaan, adil, progresif dan inklusif.

"Inilah sebab kenapa kita berkemampuan untuk kekalkan keamanan dan kestabilan sekaligus mengelakkan daripada sebarang kekacauan berlaku di negara ini," katanya.

Najib Tun Razak

Artikel Berikut

Artikel Lain