suria

Gangguan Bekalan Air Di Lembah Klang 19 Disember Ini

PETALING JAYA: Kira-kira 3,892,641 pengguna di Lembah Klang akan terjejas akibat gangguan bekalan air pada 19 Disember ini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata gangguan air itu disebabkan kerja penyenggaraan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di pencawang Bukit Badong, Hulu Selangor pada 19 Disember.

Gangguan bekalan air itu dijangka berterusan selama 16 jam dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Beberapa kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur akan terjejas kerana ia melibatkan tiga loji rawatan air yang membekalkan air kepada 60 peratus penduduk di Lembah Klang.

Loji rawatan air (LRA) yang terjejas adalah LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3.

"Pada ketika ini, ketiga-tiga loji yang dinyatakan membekal kira-kira 2,800 juta liter air sehari kepada pengguna," kata Mohd Ridhuan.

Menurut SPAN, kerja penyenggaraan oleh TNB dilakukan sekali setiap tiga tahun bagi mengelakkan sebarang kerosakan atau gangguan elektrik tidak berjadual di loji terbabit.

"Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja penyenggaraan sistem bekalan elektrik selesai dan loji rawatan air beroperasi semula," katanya.

Pada masa sama, Mohd Ridhuan turut menggesa orang ramai supaya menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang tempoh tersebut.

Beliau berkata pengguna boleh merujuk kepada laman web www.syabas.com.my untuk maklumat terperinci berhubung gangguan ini.

gangguan bekalan air, SPAN

Artikel Lain